Prolog
“Kenangan itu… kenangan
yang merantai jiwa remaja kita. Apa mungkin ia kembali. Atau terus akan berlalu
dibawa syahdu angin, dihempas deburan ombak”
SEPASANG kaki melangkah menurut persisiran pantai
yang setia menanti deburan ombak. Tidak jauh mana dia membawa diri kali ini. Sesak
di dalam dada berjaya dia kabuskan dengan senyuman mesra. Alasan memancing ke
Pantai Bagan Lalang di daerah Sepang ini bukanlah tujuan utama sebenarnya,
namun lebih kepada merawat hati yang duka nestapa.
Dia seorang pencinta setia, seorang yang berpegang
kepada janji yang dilafazkan. Namun kenapa dia yang selalu yang kesepian? Ditinggalkan?
Kisah dia ini terbalikkah? Berputar tiga ratus enam puluh darjah dengan apa
yang selalu sahaja berlaku di luar sana. Kebiasaanya dia mendengar perempuan
dipermainkan dengan kaumnya, namun dalam kisah hidup dia berlainan pula.
Hidup seorang Wafi Ikram bukan sahaja dipermainkan
dengan tipu muslihat perempuan, malah dihina pula. Dicaci maki seolah-olah
seluruh dunia ini menghukum apa yang telah berlaku padanya. Semuanya bukan dia
minta walaupun dia tahu dia yang bersalah membiarkan hidupnya terumbang-ambing
mengikut olengan bisikan syaitan. Tetapi atas nama manusia, tiada yang
sempurna, semuanya pernah melakukan kesilapan. Jadi, kenapa dia dihukum teruk
begitu? Tak adakah orang yang mahu menolongnya, mengubah dan mengajaknya keluar
daripada jalan yang dia sendiri tidak pilih.
Masih adakah manusia seperti Almira Putri yang
menerima dia seadanya, malah membantu pula dia naik dan bangun seperti yang
lain. Terhutang budi benar dia pada Almira Putri, tanpa nasihat dan kata-kata
semangat yang dicurahkan kepadanya, dia tak mampu sampai ketahap ini dengan
izin Allah.
Wafi Ikram bukanlah seorang anak hartawan, jutawan
malah mempunyai asset berbilion-bilion jauh sekali. Dia hanyalah anak sepasang
suami isteri yang biasa-biasa kehidupannya, bersederhana dalam segala hal. Dan kejayaan
dia hari ini juga bukanlah gah mana, namun bekerja sebagai seorang pereka dalam
industry pembuatan pengbungkusan produk satu kejayaan baginya. Kerana bantuan kata-kata
nasihat daripada Almira Putri dan izin Allah, dia berjaya menghabiskan
pengajiannya dengan tangis, jerih pedih serta susah dan payah kerana berita
yang memagut keceriaanya berlaku disaat-saat akhir dia menghabiskan pengajian.
Kakinya melangkah lagi tanpa tahu ke mana destinasi
yang sepatutnya membawa dirinya berhenti. Hanya berjalan, berjalan dan terus
berjalan menerusi gigi air di pantai yang memutih dan laut yang membiru. Hatinya
rasa pedih, nak menangis air mata sudah kering lama dahulu, nak meraung nanti
dikatakan gila pula oleh orang sekeliling, bagaimana pula jika dia diam? Kalau diam
risau segala rasa yang hadir memakan diri sendiri dari dalam. Mahu menulis rasa
yang terpendam? Jangan mimpilah, dia tak tahu menulis bait dan kata yang dia
rasa, semuanya tak mampu dia ungkapkan dengan kata-kata mahupun tulisan.
Setelah lenguh kaki melangkah, Wafi Ikram berhenti.
“Maaf mama, Wafi terpaksa tipu mama dan Abang Izz,
bukan tak mahu berkongsi, tapi biarlah luka ini dirawat sendiri.” Luahnya perlahan
sambil pandangannya dilemparkan jauh ke arah lauh yang luas terbentang.
Kali ini hatinya patah benar dengan apa yang
terjadi. Sangkanya Hanim mampu mengubat rindunya pada Almira Putri. Namun dia
harus sedar, kejadian Allah itu maha agung! Mungkin hanya wajah mereka yang
hampir serupa, namun bukan sikap dan tingkah laku yang sama.
Hanim Natasya. Seorang gadis kecil molek yang
dikenali kerana berjiran tempat kerja dengannya. Hampir dua tahun hanya
berbalas senyuman, akhirnya tahun ini dia dapat menggenggam erat hubungan
diantara mereka. Namun tak tahu mana silapnya, hubungan mereka masih belum pun mencapai
usia setahun, Hanim minta hubungan mereka ditamatkan. Setelah didesak
berkali-kali tentang punca retaknya hubungan mereka, akhirnya Hanim membuka
mulut.
Salahnya juga tak bercerita awal-awal tentang apa
yang telah berlaku dalam hidupnya sepanjang dua puluh sembilan hidup di bumi
Allah ini. Namun apabila difikirkan, mereka baru sahaja kenal, rasanya tak
perlu dia meneritakan segala-galanya tentang sejarah hitam atau putih kehidupannya.
Untuk mengenali mestilah harus berani megambil masa dan risiko bukan? Lagipun andai
benar Hanim redha dan menerima dia kerana masa sekarang, Hanim tak akan berlalu
pergi meninggalkan dia sendirian begini. Betul atau tidak? Siapa yang mahu beri
jawapan pada soalan yang hanya dilepaskan pada alam.
Wafi Ikram tunduk mengutip cengerang-cengkerang yang
memutih mendarat di pinggir pantai. Selepas dibelek-belek melihat bentuk dan
seni yang terukir, dia melemparkan cengkerang-cengkerang tersebut ke dalam laut
satu persatu. Sesekali rambut yang sedikit panjang miliknya diselak dan
diselitkan dibawah kacamata yang dipakai. Ada juga rasa rimas yang bertamu saat
hujung rambut melindungi tubir mata atau mencucuk-cucuk mahu menerobos masuk,
namun kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan, dia lebih senang mengambil langkah
membiarkan rambut hadapannya panjang mengurai melindungi sepasang mata. Lagipun
sekarang dunia sibuk dengan dunia K-Pop yang berfesyen rambut menutup ruang
dahi, jadi tidaklah dia terasa asing sangat bila menggayakan rambut yang
serupa.
Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Cuba mengusir
rasa sesak dan duka yang menghuni hati. Harapannya semoga segala rasa yang
menyeksa jiwanya berlalu pergi perlahan-lahan bersama setiap karbon dioksida
yang keluar daripada liang pernafasannya.
“Wafi Ikram harus bangun! Tak boleh lemah!!” jeritnya kuat melawan bunyi deruan ombak yang
menghempas pantai.
Almira Putri, andai kau masih ada bersama….
No comments:
Post a Comment