love letterz..

To all my beloved readers, mohon tegur dan komen andai ada yang tidak kena dengan penulisan saya, mohon juga komen membina untuk meningkatkan mutu penulisan...

**Segala copy paste karya-karya di dalam blog ini adalah di larang, segalanya adalah hak terpelihara perahan otak saya. Terima kasih.

muah2 utk semua. Terima kasih atas sokongan!

yang benar dan tak tipu:
Adah Firaisaa
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday 8 January 2014

Dari Jiwa Sang Lelaki- Prolog



Prolog

“Kenangan itu… kenangan yang merantai jiwa remaja kita. Apa mungkin ia kembali. Atau terus akan berlalu dibawa syahdu angin, dihempas deburan ombak”

SEPASANG kaki melangkah menurut persisiran pantai yang setia menanti deburan ombak. Tidak jauh mana dia membawa diri kali ini. Sesak di dalam dada berjaya dia kabuskan dengan senyuman mesra. Alasan memancing ke Pantai Bagan Lalang di daerah Sepang ini bukanlah tujuan utama sebenarnya, namun lebih kepada merawat hati yang duka nestapa.
Dia seorang pencinta setia, seorang yang berpegang kepada janji yang dilafazkan. Namun kenapa dia yang selalu yang kesepian? Ditinggalkan? Kisah dia ini terbalikkah? Berputar tiga ratus enam puluh darjah dengan apa yang selalu sahaja berlaku di luar sana. Kebiasaanya dia mendengar perempuan dipermainkan dengan kaumnya, namun dalam kisah hidup dia berlainan pula.
Hidup seorang Wafi Ikram bukan sahaja dipermainkan dengan tipu muslihat perempuan, malah dihina pula. Dicaci maki seolah-olah seluruh dunia ini menghukum apa yang telah berlaku padanya. Semuanya bukan dia minta walaupun dia tahu dia yang bersalah membiarkan hidupnya terumbang-ambing mengikut olengan bisikan syaitan. Tetapi atas nama manusia, tiada yang sempurna, semuanya pernah melakukan kesilapan. Jadi, kenapa dia dihukum teruk begitu? Tak adakah orang yang mahu menolongnya, mengubah dan mengajaknya keluar daripada jalan yang dia sendiri tidak pilih.
Masih adakah manusia seperti Almira Putri yang menerima dia seadanya, malah membantu pula dia naik dan bangun seperti yang lain. Terhutang budi benar dia pada Almira Putri, tanpa nasihat dan kata-kata semangat yang dicurahkan kepadanya, dia tak mampu sampai ketahap ini dengan izin Allah.
Wafi Ikram bukanlah seorang anak hartawan, jutawan malah mempunyai asset berbilion-bilion jauh sekali. Dia hanyalah anak sepasang suami isteri yang biasa-biasa kehidupannya, bersederhana dalam segala hal. Dan kejayaan dia hari ini juga bukanlah gah mana, namun bekerja sebagai seorang pereka dalam industry pembuatan pengbungkusan produk satu kejayaan baginya. Kerana bantuan kata-kata nasihat daripada Almira Putri dan izin Allah, dia berjaya menghabiskan pengajiannya dengan tangis, jerih pedih serta susah dan payah kerana berita yang memagut keceriaanya berlaku disaat-saat akhir dia menghabiskan pengajian.
Kakinya melangkah lagi tanpa tahu ke mana destinasi yang sepatutnya membawa dirinya berhenti. Hanya berjalan, berjalan dan terus berjalan menerusi gigi air di pantai yang memutih dan laut yang membiru. Hatinya rasa pedih, nak menangis air mata sudah kering lama dahulu, nak meraung nanti dikatakan gila pula oleh orang sekeliling, bagaimana pula jika dia diam? Kalau diam risau segala rasa yang hadir memakan diri sendiri dari dalam. Mahu menulis rasa yang terpendam? Jangan mimpilah, dia tak tahu menulis bait dan kata yang dia rasa, semuanya tak mampu dia ungkapkan dengan kata-kata mahupun tulisan.
Setelah lenguh kaki melangkah, Wafi Ikram berhenti.
“Maaf mama, Wafi terpaksa tipu mama dan Abang Izz, bukan tak mahu berkongsi, tapi biarlah luka ini dirawat sendiri.” Luahnya perlahan sambil pandangannya dilemparkan jauh ke arah lauh yang luas terbentang.
Kali ini hatinya patah benar dengan apa yang terjadi. Sangkanya Hanim mampu mengubat rindunya pada Almira Putri. Namun dia harus sedar, kejadian Allah itu maha agung! Mungkin hanya wajah mereka yang hampir serupa, namun bukan sikap dan tingkah laku yang sama.
Hanim Natasya. Seorang gadis kecil molek yang dikenali kerana berjiran tempat kerja dengannya. Hampir dua tahun hanya berbalas senyuman, akhirnya tahun ini dia dapat menggenggam erat hubungan diantara mereka. Namun tak tahu mana silapnya, hubungan mereka masih belum pun mencapai usia setahun, Hanim minta hubungan mereka ditamatkan. Setelah didesak berkali-kali tentang punca retaknya hubungan mereka, akhirnya Hanim membuka mulut.
Salahnya juga tak bercerita awal-awal tentang apa yang telah berlaku dalam hidupnya sepanjang dua puluh sembilan hidup di bumi Allah ini. Namun apabila difikirkan, mereka baru sahaja kenal, rasanya tak perlu dia meneritakan segala-galanya tentang sejarah hitam atau putih kehidupannya. Untuk mengenali mestilah harus berani megambil masa dan risiko bukan? Lagipun andai benar Hanim redha dan menerima dia kerana masa sekarang, Hanim tak akan berlalu pergi meninggalkan dia sendirian begini. Betul atau tidak? Siapa yang mahu beri jawapan pada soalan yang hanya dilepaskan pada alam.
Wafi Ikram tunduk mengutip cengerang-cengkerang yang memutih mendarat di pinggir pantai. Selepas dibelek-belek melihat bentuk dan seni yang terukir, dia melemparkan cengkerang-cengkerang tersebut ke dalam laut satu persatu. Sesekali rambut yang sedikit panjang miliknya diselak dan diselitkan dibawah kacamata yang dipakai. Ada juga rasa rimas yang bertamu saat hujung rambut melindungi tubir mata atau mencucuk-cucuk mahu menerobos masuk, namun kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan, dia lebih senang mengambil langkah membiarkan rambut hadapannya panjang mengurai melindungi sepasang mata. Lagipun sekarang dunia sibuk dengan dunia K-Pop yang berfesyen rambut menutup ruang dahi, jadi tidaklah dia terasa asing sangat bila menggayakan rambut yang serupa.
Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Cuba mengusir rasa sesak dan duka yang menghuni hati. Harapannya semoga segala rasa yang menyeksa jiwanya berlalu pergi perlahan-lahan bersama setiap karbon dioksida yang keluar daripada liang pernafasannya.
“Wafi Ikram harus bangun! Tak boleh lemah!!”  jeritnya kuat melawan bunyi deruan ombak yang menghempas pantai.
Almira Putri, andai kau masih ada bersama….