love letterz..

To all my beloved readers, mohon tegur dan komen andai ada yang tidak kena dengan penulisan saya, mohon juga komen membina untuk meningkatkan mutu penulisan...

**Segala copy paste karya-karya di dalam blog ini adalah di larang, segalanya adalah hak terpelihara perahan otak saya. Terima kasih.

muah2 utk semua. Terima kasih atas sokongan!

yang benar dan tak tipu:
Adah Firaisaa
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Showing posts with label adah. Show all posts
Showing posts with label adah. Show all posts

Wednesday, 8 January 2014

Dari Jiwa Sang Lelaki- Prolog



Prolog

“Kenangan itu… kenangan yang merantai jiwa remaja kita. Apa mungkin ia kembali. Atau terus akan berlalu dibawa syahdu angin, dihempas deburan ombak”

SEPASANG kaki melangkah menurut persisiran pantai yang setia menanti deburan ombak. Tidak jauh mana dia membawa diri kali ini. Sesak di dalam dada berjaya dia kabuskan dengan senyuman mesra. Alasan memancing ke Pantai Bagan Lalang di daerah Sepang ini bukanlah tujuan utama sebenarnya, namun lebih kepada merawat hati yang duka nestapa.
Dia seorang pencinta setia, seorang yang berpegang kepada janji yang dilafazkan. Namun kenapa dia yang selalu yang kesepian? Ditinggalkan? Kisah dia ini terbalikkah? Berputar tiga ratus enam puluh darjah dengan apa yang selalu sahaja berlaku di luar sana. Kebiasaanya dia mendengar perempuan dipermainkan dengan kaumnya, namun dalam kisah hidup dia berlainan pula.
Hidup seorang Wafi Ikram bukan sahaja dipermainkan dengan tipu muslihat perempuan, malah dihina pula. Dicaci maki seolah-olah seluruh dunia ini menghukum apa yang telah berlaku padanya. Semuanya bukan dia minta walaupun dia tahu dia yang bersalah membiarkan hidupnya terumbang-ambing mengikut olengan bisikan syaitan. Tetapi atas nama manusia, tiada yang sempurna, semuanya pernah melakukan kesilapan. Jadi, kenapa dia dihukum teruk begitu? Tak adakah orang yang mahu menolongnya, mengubah dan mengajaknya keluar daripada jalan yang dia sendiri tidak pilih.
Masih adakah manusia seperti Almira Putri yang menerima dia seadanya, malah membantu pula dia naik dan bangun seperti yang lain. Terhutang budi benar dia pada Almira Putri, tanpa nasihat dan kata-kata semangat yang dicurahkan kepadanya, dia tak mampu sampai ketahap ini dengan izin Allah.
Wafi Ikram bukanlah seorang anak hartawan, jutawan malah mempunyai asset berbilion-bilion jauh sekali. Dia hanyalah anak sepasang suami isteri yang biasa-biasa kehidupannya, bersederhana dalam segala hal. Dan kejayaan dia hari ini juga bukanlah gah mana, namun bekerja sebagai seorang pereka dalam industry pembuatan pengbungkusan produk satu kejayaan baginya. Kerana bantuan kata-kata nasihat daripada Almira Putri dan izin Allah, dia berjaya menghabiskan pengajiannya dengan tangis, jerih pedih serta susah dan payah kerana berita yang memagut keceriaanya berlaku disaat-saat akhir dia menghabiskan pengajian.
Kakinya melangkah lagi tanpa tahu ke mana destinasi yang sepatutnya membawa dirinya berhenti. Hanya berjalan, berjalan dan terus berjalan menerusi gigi air di pantai yang memutih dan laut yang membiru. Hatinya rasa pedih, nak menangis air mata sudah kering lama dahulu, nak meraung nanti dikatakan gila pula oleh orang sekeliling, bagaimana pula jika dia diam? Kalau diam risau segala rasa yang hadir memakan diri sendiri dari dalam. Mahu menulis rasa yang terpendam? Jangan mimpilah, dia tak tahu menulis bait dan kata yang dia rasa, semuanya tak mampu dia ungkapkan dengan kata-kata mahupun tulisan.
Setelah lenguh kaki melangkah, Wafi Ikram berhenti.
“Maaf mama, Wafi terpaksa tipu mama dan Abang Izz, bukan tak mahu berkongsi, tapi biarlah luka ini dirawat sendiri.” Luahnya perlahan sambil pandangannya dilemparkan jauh ke arah lauh yang luas terbentang.
Kali ini hatinya patah benar dengan apa yang terjadi. Sangkanya Hanim mampu mengubat rindunya pada Almira Putri. Namun dia harus sedar, kejadian Allah itu maha agung! Mungkin hanya wajah mereka yang hampir serupa, namun bukan sikap dan tingkah laku yang sama.
Hanim Natasya. Seorang gadis kecil molek yang dikenali kerana berjiran tempat kerja dengannya. Hampir dua tahun hanya berbalas senyuman, akhirnya tahun ini dia dapat menggenggam erat hubungan diantara mereka. Namun tak tahu mana silapnya, hubungan mereka masih belum pun mencapai usia setahun, Hanim minta hubungan mereka ditamatkan. Setelah didesak berkali-kali tentang punca retaknya hubungan mereka, akhirnya Hanim membuka mulut.
Salahnya juga tak bercerita awal-awal tentang apa yang telah berlaku dalam hidupnya sepanjang dua puluh sembilan hidup di bumi Allah ini. Namun apabila difikirkan, mereka baru sahaja kenal, rasanya tak perlu dia meneritakan segala-galanya tentang sejarah hitam atau putih kehidupannya. Untuk mengenali mestilah harus berani megambil masa dan risiko bukan? Lagipun andai benar Hanim redha dan menerima dia kerana masa sekarang, Hanim tak akan berlalu pergi meninggalkan dia sendirian begini. Betul atau tidak? Siapa yang mahu beri jawapan pada soalan yang hanya dilepaskan pada alam.
Wafi Ikram tunduk mengutip cengerang-cengkerang yang memutih mendarat di pinggir pantai. Selepas dibelek-belek melihat bentuk dan seni yang terukir, dia melemparkan cengkerang-cengkerang tersebut ke dalam laut satu persatu. Sesekali rambut yang sedikit panjang miliknya diselak dan diselitkan dibawah kacamata yang dipakai. Ada juga rasa rimas yang bertamu saat hujung rambut melindungi tubir mata atau mencucuk-cucuk mahu menerobos masuk, namun kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan, dia lebih senang mengambil langkah membiarkan rambut hadapannya panjang mengurai melindungi sepasang mata. Lagipun sekarang dunia sibuk dengan dunia K-Pop yang berfesyen rambut menutup ruang dahi, jadi tidaklah dia terasa asing sangat bila menggayakan rambut yang serupa.
Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Cuba mengusir rasa sesak dan duka yang menghuni hati. Harapannya semoga segala rasa yang menyeksa jiwanya berlalu pergi perlahan-lahan bersama setiap karbon dioksida yang keluar daripada liang pernafasannya.
“Wafi Ikram harus bangun! Tak boleh lemah!!”  jeritnya kuat melawan bunyi deruan ombak yang menghempas pantai.
Almira Putri, andai kau masih ada bersama….

Thursday, 28 November 2013

Nak Jadi Pengantin - Bab 1


Bab 1

SUFIAH duduk menekur lantai. Dia menarik nafas panjang cuba mencari kekuatan dalam permasalahannya. Renda kain telekung sembahyang dipintal-pintal perlahan. Otaknya menerawang memikirkan kesudahan bagi keadaan yang sedang berlaku sekarang. Setelah agak lama dia diam begitu, akhirnya dia bangun.
Telekung sembahyang dibuka dan dilipat dua, kemudian di sangkutkan ke penyidai. Dia hemudian berlabuh di atas katil. Samsung S4 miliknya dicapai lalu jari telunjuknya menari di atas skrin dan melakar bentuk huruf L. Kelihatan satu ikon sampul surat beserta nombor satu terpapar di skrin bermaksud terdapat satu mesej yang masih belum dibaca. Laju ibu jarinya menyentuh ikon tersebut.

“Sorry sayang, abang tengah pujuk abah la ni. Doa ya, semua ni akan berjalan dengan lancar”

Sufiah mengeluh kuat. Aduh… bilalah semua ni akan selesai? Tergantung macam ni. Abah tanya kejap lagi aku nak jawab apa? Kusut… kusut.
Tok! Tok!
Sufiah Hannani yang sedang menekur telefon bimbit di tangan mendongak kearah pintu  biliknya.
“Siapa?” mendatar suaranya menyoal.
“Abah” jawab satu suara di luar. Sufiah mula menggaru kepala. Aduh, apa aku nak jawab ni? Aduh! Aduh!
“Kejap bah.” Dia bangun dan membuka pintu bilik. Terjengul muka abah kesayanagn dihadapan pintu biliknya.
“Ha? Macam mana?” Aduh! Dah menembak? Belum sempat pintu ni aku bukak luas-luas, abah dah tembak dengan soalan cepu emas.
“Erm, belum ada jawapan lagi abah, dia masih berbincang dengan keluarga.” Jawab Sufiah perlahan. Takut!
“Oh, tak apalah, nanti dah ada keputusan cakap kat abah. Bagitau dia, dalam masa dua minggu ni je, lepas ni, abah tak terima dah!” Gulp! Sufiah menelan air liur. Tambah sebiji lagi nampaknya batu kat atas kepala ni. Dia menghantar bapanya yang berlalu dengan anak mata. Pintu bilik ditutup kembali dan terus melompat ke atas kati. Kepala ini perlu direhatkan seketika.

“ABAH bukan tak percaya, tapi abah risau. Kamu tu tak bekerja lagi, study pun baru masuk semester berapa? Lambat lagi nak habis degree tu. Kenapa awal sangat nak bertunang? Tak boleh tunggu dah ke?” Encik Khairul berpaling mengadap anak bujangnya. Pelik kenapa tiba-tiba mintak nak bertunang.
Qays Hadi memandang bapanya. Dia turut mengeluh. Kenapalah susah nak fahamkan abah ni.
“Abah, Qays nak bertunang je. Belum nak kahwin lagi, lagipun Sufi dah cakap, keputusan  kahwin tu terletak pada tangan dia. Dia yang akan putuskan bila dia nak kahwin, abah dia tak akan tetapkan. Lagipun dia faham kami masih belajar. Abah dia just tak berani nak lepaskan dia belajar jauh sendirian, lepastu nak bawak kereta bagai. Itu yang abah dia mintak kami tunang, kurang-kurang Qays ada untuk tengok-tengokkan Sufi bila kami kat sana nanti.”
“Lepastu kamu nak belajar ke nak jaga anak orang ni?” selar Encik Khairul.
“Abah, Qays dah fikir masak-masak, benda macam ni bukan buat main. Qays sedar, Qays anak sulung, kena tunjuk contoh baik-baik untuk adik-adik. Qays bertunang ni pun Qays nak elokkan nama abah jugak. Sufi selalu datang sini, abah tak fikir ke kalau orang tanya, ‘siapa yang datang tu?’. Abah nak jawab apa? Abah nak jawab, ‘awek anak aku yang datang…’. Macam tu? Tak ke nampak macam abah tak kisah? Kalau abah jawab tunang anak aku tak adalah nampak buruk sangat.” sebijik kena di muka Encik Khairul. Puan Syafira keatwa mendengar jawapan anak bujangnya.
Encik Khairul mula rasa lembut hati. Pandai jugak anak aku ni berfikir. Logik! Logik!
“Nak bertunang ni bukan pakai lima puluh sen je, kamu ada duit?” Encik Khairul menduga.
“Kalau tak cukup semuanya, tak adalah saya berani minta dengan abah. Abah just say yes je. Semuanya Qays akan uruskan sendiri. Tolonglah abah, Qays ada masa dua minggu ini je nak lesaikan hal ni. Kami dah kenal lama dah abah, dah hampir tiga tahun dah. Atau abah tak berkenan dengan Sufi? Kalau tak berkenan kenapa tak cakap awal-awal?” Qays merenung wajah bapanya mengharap keputusan positif.
“Abah bukan tak suka, tapi abah risau kamu tak dapat fokus pada study. Nanti sibuk dengan hal lain.” Suara Encik Khairul makin kendur namun kedengaran tegas.
“Habis tu, abah ingat dengan hubungan yang tak nampak hala tuju macam ni hati Qays akan tenang? Study Qays akan cemerlang?” soal Qays laju. Dia penat memujuk abahnya. Hampir tiga hari lamanya. Dia masih ada seminggu sahaja sebelum tempoh dua minggu yang ditawarkan oleh Dato’ Mohammad tamat.
“Betul tu abang, kta kena fikir jugak perasaan Qays. Lagipun dah terang lagi yang mereka tak akan berkahwin dalam masa terdekat ni. Kalau kamu bertunang sekarang, agak-agak berapa lama baru kahwin?”  tangannya menyentuh paha anak bujang yang sedang cemberut. Muka tak puas hatilah tu!
“Lepas Qays studylah, takkan nak kahwin sekarang, nak makan apa? Nak belanja kenduri dengan apa?”
“Ha! Dengar tu abang? Lepas Qays study, maknanya dekat dua tahunlah jugak sebelum diorang kahwin. Bolehlah ye bang? Kesian budak-budak ni. Lagipun betul kata Qays tu, pertunanagn ni kurang-kurang menjaga air muka kita juga bila orang tanya pasal Sufi datang ke rumah ni. Awak pun tahu saya rapat dengan Sufi tu, ke hulu ke hilir.” Puan Syafira memujuk.
“Nantilah saya fikir macam mana.” Encik Khairul terus berlalu keluar, sebentar kemudian kedengaran deruman kereta meninggalkan rumah.
Qays dan Puan Syafira saling berpandangan.
“Dah hampir berjaya dah tu, usaha lagi. Malam ni jangan lupa solat hajat banyak-banyak. Mohon Allah lembutkan hati abah. Kita nak buat benda baik, bukannya nak pergi mencuri kan?” senyuman manis diberikan kepada anak bujangnya, Qays.
“Terima kasih ma sebab faham Qays.” Puan Syafira dirangkulnya.
“Dah nama anak mama, mestilah mama faham. Mama tahu apa niat Qays sebenar. Kalau bukan sebab abah, mama dah lama suruh korang berdua kahwin.” Puan Syafira senyum.
“Kahwin ma? Lagi Qays nak!” suaranya sedikit tinggi.
“Hisy!” jerit Puan Syafira lalu menepuk paha Qays kuat. Gatal sangat anak teruna aku ni! Qays Hadi menyeringai menahan pedih di pahanya.
“Nampak tak kegatalan kamu? Dengar dek abah, hati yang nak lembut terus jadi keras balik. Nak?” kali ini telinga Qays pula menjadi mangsa tangan kecil Puan Syafira.
“Tak… tak.. tak nak ma…. Tak nak…” Qays mengaduh. Kepalanya ditelengkan supaya tarikan telinga dari jemari ibunya tidak kuat.
“Tahu takut. Ni mama nak tanya. kamu nekad nak kat Sufiah tu?” Qays terkebil-kebil memandang wajah ibunya. Lama.
Apa punya soalan mama ni? Dah hampir tiga tahun aku duk berkepit dengan Sufiah, baru hari ini tanya nak betul ke tidak? “Mama ni biar betik! Sufiah tu ke hulu ke hilir dengan mama dah nak dekat dua tahun, datang rumah kita setiap minggu, ikut je mama ajak pergi mana. Mama pulak baik sangat sampai panggil sayangla, babyla. Kalah Qays yang bercinta dengan dia ni, tapi hari ni baru mama tanya perasaan Qays yang sebenarnya? Ni kenapa bagi soalan pelik kat Qays ni?” duduknya dikemaskan, badannya tegap mengadap ibunya.
Bila Puan Syafira mula menyoal soalan pelik-pelik macam ni tak lain tak bukan nak mengujilah ni! Qays Hadi senyum sendiri. Kenal sangat dengan perangai mama tercinta. Wajahnya dimaniskan sambil memandang ibunya, apabila  pandangan mereka bertembung Qays mengangkat kedua-dua keningnya tanda bertanya kenapa. Puan Syafira senyum, hailah anak bujang seorang ni, sekejap je masa berputar, dah besar rupanya. Buktinya, tengoklah, menggatal dengan anak dara orang, hormone nak berpasangan dah keluar rupanya.  Pantang sebut perkataan kahwin.
“Sufiah tu anak Dato’, berani ke lawan?” Puan Syafira tanya lagi, kali ini dengan nada yang lebih rendah dan perlahan. Seakan-akan berbisik. Kepalanya juga direndahkan mendekati wajah Qays.
“Haaish! Mana tak berani ma… kalau tak berani tak ada Qays pergi rumah dia, kenal dengan abah dia.” Qays juga menjawab dengan nada perlahan dan berbisik. Kepalanya dijengah sedikit kehadapan, mendekati wajah ibunya. Risau kalau-kalau ibunya tidak mendengar setiap bait yang keluar daripada mulut seksinya.
Puan Syafira mengangkat kepalanya. “Kenapa Qays bisik jugak ni?” suaranya dikuatkan.
“Mana Qays tahu, dah mama bisik, Qays ikutlah, kang tak ikut mama marah pulak.”
“Ikut pun bertempatlah. Aduh, pening mama layan karenah kamu seorang ni. Sudahlah, mama nak ke dapur. Daripada duduk tengok kartun, baik pergi solat hajat mintak hati abah kamu lembut. Pergi!” sedikit meninggi suara Puan Syafira. Kakinya melangkah ke dapur sambil mulutnya tak berhenti membebel-bebel tentang apa yang patut Qays lakukan. Qays Hadi pula hanya senyum sambil memandang skrin televisyen.
Ibu, kalau membebel rasa sakit telinga, tapi kalau tak ada, rasa rindu. Lebih baik sakit telinga daripada rasa rindu!