BAB 11
“ABANG, seronok tak hari ni?” Tanya Datin Raudhah sambil menyikat
rambut di depan meja soleknya. Datuk Haidar mengangkat wajah
dari pembacaan. Buku berjudul “Rahsia Al-Fatihah” itu diletakkan di atas
meja sisi katil.
“Eh, bakpo pulok Odah
tanya abang macam tu? Selama ini tok
sedak ke berkumpul dengan anak-anak?”
“Bukan tok sedak abang,
tapi hari ini abang perasan tak, kedatangan Marha buat rumah kita bising,
meriah, gege. Mereka bertiga
macam seronok sangat saling sakat menyakat.” Terang Datin
Raudhah. Dia sudah mengambil tempat di sebelah suaminya di atas katil.
“Ooh... pasal Marha rupanya, ingatkan siapa. Abang
perasan sangat. Harraz yang selama ini kaki sakat, makin menjadi-jadi
nampaknya. Merah-merah muka Marha dibahan tadi. Dah nak dekat sama merah
dengan muka Raz.” Jawab Datuk Haidar. Mereka berdua ketawa.
“Dari mula kaki Marha melangkah masuk ke rumah ni, saya dah
mula sukakan dia. Abang macam mana?”
“Abang sukakan dia.” Jawab Datuk Haidar sambil tersenyum-senyum.
Lain benar senyuman Datuk Haidar ni?
“What?? Ulang lagi sekali bang. Kenapa senyuman gatal abang
tu keluar sekali?” Datin Raudhah separuh menjerit. Datuk Haidar
ketawa.
“Tak, maksud abang, abang pun sukakan dia macam mana Odah sukakan
dia. Odah ni, mesti ke lautlah tu fikirannya. Seorang pun abang dah habis
kudrat jaga, inikan nak menambah. Hahha….” Datuk Haidar ketawa lagi.
“Abang ni, suka sangat buat Odah terkejut tau!” marah Datin
Raudhah. Dia menampar lembut bahu Datuk Haidar.
“Odah nak kenenkan Raz
dengan Marha ke?” Tanya Datuk Haidar tiba-tiba. Datin Raudhah
memandang wajah suaminya. Kuat betul deria keenam suaminya ini. Pantas betul
menangkap apa yang tersirat di hati.
“Itu memang niat di hati bang, tapi macam mana janji kita
dulu?” Tanya Datin Raudhah. Datuk Haidar mengeluh.
“Kita dah cari mereka merata tempat Odah, kali terakhir kita jumpa
mereka masa Raz umur empat tahun di Sarawak, tu pun kita jumpa Piki sorang je,
isteri dia dan anak bongsu mereka kita tak jumpa. Lepas tu sampai sekarang
mereka menghilang. Bukannya masa kali terakhir kita jumpa tu kita ada bagi
alamatkan?” Datuk Haidar juga menjawab dengan soalan. Datin Raudhah
senyap. Dia mencerna kata-kata suaminya.
Benar apa yang dikatakan oleh Datuk Haidar, mereka ada
meninggalkan alamat, namun sehingga hari ini teman baik mereka, Piki, tidak
menghubungi mereka. Mereka pernah berjanji untuk menjodohkan anak lelaki
mereka dengan anak perempuan bongsu Piki. Seingatnya Piki ada empat atau lima
orang anak sebelum anak bongsunya, tetapi jarang sangat berjumpa, kerana
anak-anaknya yang lain belajar disekolah berasrama. Nama pun ingat-ingat lupa,
jadi kalau nak mencari anak-anaknya yang lain pun, belum tentu mereka boleh.
“Tak perlulah kita fikir Odah, kalau ada jodoh
budak-budak ni, adalah. Kalau Piki datang tuntut janji kita dulu pun, saya
serah keputusan kepada Raz, dia yang akan hidup dengan pilihannya, bukan
kita. Betul tak sayang?” Datin Raudhah memandang wajah Datuk Haidar,
kemudian memeluk suaminya.
“Abang rasa keputusan kita menjodohkan mereka ketika kecil tu,
salah ke? Abang rasa kalau Karmila dapat tahu, dia marah tak pada orang tua
mereka?” Datin Raudhah melontarkan soalan. Datuk Haidar kelu, tak tahu nak
menjawab apa yang sesuai dengan soalan yang diberikan. Dia mengeluh.
“Insyaallah, kita hanya mampu mendoakan apa yang terbaik. Semoga
apa yang bakal terjadi hari esok lebih baik daripada semalam. Abang tak ada
jawapan untuk soalan-soalan Odah. Segalanya ada dalam hati mereka sendiri, apa
yang bakal terjadi semuanya telah ditakdirkan, namun sebagai manusia kita harus
guna setiap takdir yang berlaku tu sebagai pengajaran”
HARRAZ masih tidak mampu melelapkan mata. Masih teringat kejadian
dia menyakat si gadis mulut itik, Si Marha siang tadi. Apabila di
ingat apa yang terjadi tadi, ketawanya meletus
sendirian. Terbayang-bayang kejadian di meja makan tadi.
“Marha, makan ya? Jangan malu-malu, buat rumah ni macam
rumah sendiri okay.” kata Datuk Haidar. Marha hanya mengangguk. Dia
makan dengan berhati-hati sambil memendam rasa. Bukan dia tak perasan si
naga sedang memerhatikan dirinya bagai nak telan. Rimas! Suapannya
mula menjadi kekok. Aduhai, kot ya pun nak terkam aku, tunggulah mangsa
kenyang dulu, baru best makan mangsa
yang gemuk dengan makanan ni. Bisik hati kecil Marha.
Dia akui, kedatangannya ke rumah ini amat menyeronokkan, rasa
seperti keluarga sendiri. Risya yang manja, Datin Raudhah yang baik dan
penyayang, Datuk Haidar yang peramah, semua ini buat pengubat rindunya pada
kedua orang tuanya. Namun satu yang menjadikan dirinya tak ceria, N.A.G.A.
Naga!
Harraz menyuap makanannya sambil melirik ke arah Marha. Control ayulah tuh! Harraz ketawa
di dalam hati.
“Macam mana aku nak balas dendam ni.” Harraz
berkira-kira sendiri. Dia melihat kedua orang tuanya serta adiknya yang
kepoh sedang enak menikmati makanan tengahari. Tiba-tiba dia tersenyum
menghilangkan kerutan di dahi. Dia mencapai seketul ayam dan dengan
pantasnya dia membaling ke dalam pinggan Marha.
Plok!
“Eh! mak ayam jatuh terlentang!” Marha terkejut
lantas melatah. Dia terbangun dan terbatuk-batuk. Tersedak nasi
akibat terlampau terkejut. Risya turut bangun dan menurut-ngurut belakang
Marha. Datin Raudhah menghulurkan air. Harraz ketawa puas hati
walaupun di dalam hatinya terbit rasa cuak dimarahi papanya. Datuk Haidar
menjeling tajam. Harraz perasan renungan maut papa. Sudah..!!
“Harraz, kenapa dengan kamu ni? Tak reti nak hormat
orang lain nak makan? Tak pernah-pernah buat
perangai.” Marah Datin Raudhah.
“Ayam terlepas ma. Sorry!” Harraz menunjukkan barisan
gigi putihnya. Dia bangun menuju ke dapur dan terus membasuh tangan dan
pinggan. Sebentar kemudian, dia terus keluar.
Marha menjeling ke arah Harraz yang berlenggang lenggok keluar ke
ruang tamu. Huh! Nasib baik depan mak ayah engkau. Kalau kat rumah aku,
siap engkau kena cili! Aku sepak-sepak bagi patah segala tulang. Baru
padan! Hati Marha berapi membebel. Tak sangka sampai begitu sekali
Harraz menyakatnya. Harraz yang sempat melarikan diri, ketawa geli hati melihat
wajah pucat Marha yang terkejut.
“Baru kau rasa, original
from Harraz. Buat hal lagi dengan aku, aku balaslah secukup rasa. Itu baru
tersedak nasi, kalau kau banyak bunyi lagi, tersedak anak gajah pulak aku buat.
Jangan tak tahu. Ini Harraz. Suka-suka hati dia baju favourite di sulam-sulam. Hah, kali ini rasalah. Rajin tak
bertempat. Lain kali nak tunjuk bakat pergi kelas sulaman, jadi cikgu. Baru ada
orang hargai bakat menyulam tu.” Harraz membebel sendirian, melepaskan rasa.
Dia bersandar pada kerusi di ruang tamu. Layan kartun lagi seronok!
“AMBOI, bahagia nampak!” tegur Risya. Harraz yang sedang berbaring
di atas katilnya sepantas kilat berpaling ke arah pintu bilik. Risya
dengan muka masam berdiri di situ. Harraz sengih.
“Kamu. Nak. Apa??” Tanya Harraz sepatah-sepatah.
“Nak makan abang! Boleh?” Tanya Risya, dia mengambil
tempat di kerusi meja solek. Berhadapan dengan Harraz.
“Eh! Abang tak sedap tau, tak payah makan! Cari
orang lain eah? Tak pun makan Kak Marha adik tu, sedap jugak
abang tengok dia pucat tadi. Hahahahhaha…”
“Tak baik abang buat Kak Marha macam tu!” protes Risya.
“Alah apa salahnya, sesi perkenalan dalam rumah kita. Adik
yang salah.” Jawab Harraz dengan muka selamba lalu memeluk erat bantal
peluknya dan membuang pandangan keluar menerusi dinding
kaca bilik. Langsir diangkat tinggi untuk memudahkannya melihat pemandangan di
luar.
“Eh! Apa adik pulak, kalau abang tak baling ayam
tadi, takkan ada kejadian macam tu dalam rumah kita tau. Sesedap rasa
tiba-tiba cakap adik yang salah.” Jerit Risya sedikit kuat.
“Adik, adik dah tahu abang tak suka perempuan mulut itik macam dia,
yang adik sampai boleh bawa dia ke rumah kita kenapa? Memang patut abang
balas sakit hati tadi.”
“Eleh, tak sukalah sangat. Tak suka orang berpada-pada oppa
oiiii! Nanti jatuh sayang, adik tok
se tolong sikit pun tau. Komen pendapat pun tok se, tok se, tok se! Tahu?”
jawab Risya sambil menarik telinga Harraz, kemudian
dia terus berlari keluar. Harraz menyeringai sakit.
“Kurang asam punya adik, tarik telinga aku pulak. Memang
taklah nak kat mulut itik tu, peluk Bobo lagi best. Mana
Bobo ni. Meooow!! Bobo… jom tidur dengan papa jom! Bobo.!!” Jerit
Harraz, kemudian seekor kucing berwarna putih baka Maine Coon berlari masuk ke
biliknya. Kemudian kucing itu melompat atas katil Harraz dan menyusup ke
celah ketiak.
“Ha... ada pun, papa ingat kamu seronok main kat luar
tak reti nak tidur dah. Seronok ke main tadi?”
“Meow...”
“Iye? Ish..ish… mesti kamu kacau tok ma lagi ya?” Tok
ma, panggilan Bobo untuk Datin Raudhah. Kata Harraz,
Bobo ni anak dia. So, kena panggil Datin Raudhah macam cucu
panggilkan neneknya. Macam-macam hal!
“Meooow..”
“Hahahahhaha..” Harraz ketawa….
“Kamu ni macam paham je ape yang papa cakap. Semua yang
papa tanya kamu jawab aje. Nasib baik si mulut itik tadi tak jumpa
kamu kan?” Tanya Harraz lagi sambil melaga-lagakan hidungnya dengan
hidung kucing kesayangan.
“Meow…”
Tiba-tiba Harraz menyedari, di sebalik bulu tebal di sekeliling
leher kucingnya, ada satu rantai yang tersangkut. Sejak bila Bobo ada
colar tambahan pulak ni? Perak pulak tu? Harraz terus mengambil
rantai yang berloketkan jed, namun jed ini berbentuk sebelah sahaja kepak
rama-rama. Ada ke orang pakai sebelah je kepak? Macam pelik je! Mesti
ada sebelah lagi! Harraz berfikir sendiri.
“Tapi siapa punya? Tak pernah-pernah aku tengok mama ngan
adik pakai jed.” Harraz membebel sendirian sambil
tangan kanannya menepuk-nepuk lembut badan Bobo. Bobo yang
selesa di dalam aircond dan enak di
dodoi tuannya, terus berdengkur.
“Manalah kamu kutip benda alah ni Bobo oi… nak kata
kutip kat luar, Bobo tak pernah di lepaskan di luar pagar, pergerakan kucing
ini selalu dikawal. Pelik!” Harraz terus memikirkan punca
rantai itu, dia menyimpan rantai tersebut di dalam laci almarinya dan akhirnya
dia terlelap sendiri sambil menepuh-nepuk punggung kucingnya. Ala-ala mendodoi
anak.